SABAH, 5 September 2026 – Kontinjen Negeri Pahang berjaya memberikan saingan sengit dalam Ijtimak Amal Islami Muallaf MADANI (IJMAM) Peringkat Kebangsaan 2026 apabila meraih tempat kelima keseluruhan daripada 13 negeri dengan kutipan 470 markah.

Program yang berlangsung pada 3 hingga 6 September 2026 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghimpunkan muallaf dari seluruh negara dalam pelbagai acara keagamaan, kreativiti dan sukan. Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menghantar seramai 23 peserta, yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Orang Asli.

Kontinjen Pahang mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tempat kedua Tilawah Lelaki (82%), Hafazan Perempuan (89%) dan Sepak Takraw, manakala tempat ketiga diperoleh menerusi Tilawah Perempuan (76%), Nasyid (83%) dan Video Kreatif Perempuan (74%).

IJMAM bertujuan meningkatkan pengetahuan dan penghayatan Islam dalam kalangan muallaf, memupuk budaya ilmu serta memperkukuh ukhuwah muallaf daripada pelbagai bangsa dan etnik.

Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah berlangsung di Dewan Banquet, Dewan Undangan Negeri Sabah dengan membawa aspirasi “Memperkasa Muallaf, Memperkukuh Ummah.”

Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan MUIP dalam memperkasa potensi muallaf, khususnya masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang.

Tahniah dan syabas kepada seluruh peserta, jurulatih serta Kontinjen Negeri Pahang atas pencapaian membanggakan di pentas kebangsaan.

Carta Organisasi Majlis
Skip to content