PEKAN. 21 September,2022. Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM1,539.000.00 disalurkan kepada Persatuan Ibu-Bapa Dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah seluruh Negeri Pahang.
Sumbangan ini akan digunakan bagi menampung keperluan pelajar miskin di sekolah – sekolah antaranya meliputi makan dan minum serta keperluan bilik darjah, menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Baitulmal Dan Operasi Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) iaitu Ybrs Dr Haji Asmadi bin Abdul Rahman ketika menyampaikan ucapan perasmian selaku wakil rasmi Ketua Pegawai Eksekutif YH.Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussin bertempat di Hotel Ancasa Royale,Pekan.
Pada majlis pelancaran yang diadakan hari ini, seramai 86 orang Guru Besar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu – Bapa Dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Daerah Pekan telah hadir bagi menerima agihan zakat tersebut. Penyerahan bagi lain-lain daerah akan diadakan secara berperingkat – peringkat di daerah masing – masing.
Sebelum itu Taklimat Wakalah Sekolah juga telah disampaikan oleh Pejabat Kutipan Zakat Pahang dan Tatacara Penggunaan Zakat Pelajar Miskin pula disampaikan oleh Bahagian Agihan Zakat MUIP.
Majlis turut dihadiri wakil Pegawai Pendidikan Negeri Pahang, Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, Pengurus – Pengurus Cawangan Daerah MUIP Daerah, pegawai dan kakitangan Pusat Kutipan Zakat Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah Pekan.
Terima kasih kepada semua pembayar zakat di Negeri Pahang. Semakin banyak zakat dibayar, semakin ramai asnaf akan memperolehi manfaat.

Carta Organisasi Majlis
Skip to content