KAHERAH, 7 November 2022 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang telah berkenan untuk merasmikan bangunan baharu Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang di Kaherah, Republik Arab Mesir hari ini.

Majlis Perasmian Bangunan Baharu MUIP tersebut telah disempurnakan dengan jayanya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam satu upacara yang diadakan di Princesses Palace Hall, Haiyyu Sabie’, Kaherah, Mesir pada pukul 6.30 petang waktu tempatan yang turut dihadiri oleh warga pelajar dari negeri Pahang yang menuntut di sana.

Bangunan baharu milik penuh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang diberi nama Dar Al Makmur itu telah mula beroperasi pada tahun 2019 dan mampu untuk memuatkan seramai 160 orang pelajar pada satu-satu masa. Bangunan yang berkonsepkan “apartment” tersebut memiliki 11 tingkat dan mempunyai kapasiti yang pelbagai antaranya, surau, restoran, pejabat, bilik asrama, rumah tamu, dewan seminar dan banyak lagi kemudahan.

Turut hadir sama dalam majlis perasmian tersebut adalah, delegasi daripada Ibu Pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang terdiri daripada barisan Ahli Majlis, Timbalan Yang Dipertua MUIP, YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tuan Yang Terutama Duta Besar Malaysia ke Mesir, YBhg. Encik Zamani bin Ismail, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, YBhg. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman dan beberapa pegawai kanan MUIP yang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Carta Organisasi Majlis
Skip to content