KUANTAN, 26 Mei 2025 – Majlis Apresiasi Lepasan Pelajar Maahad Tahfiz dan Madrasah Negeri Pahang telah diadakan dengan jayanya.
Majlis yang diadakan ini adalah bagi meraikan para pelajar lepasan daripada maahad tahfiz dan madrasah yang telah mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2024 yang lalu menerusi Program Intervensi SPM Kementerian Pendidikan Malaysia.
Majlis yang telah diadakan bertempat di Dewan Maahad Bahasa Dan Ilmu Al-Quran (MABIQ) Kuantan dihadiri kira-kira 250 orang pelajar dan ibubapa. Majlis ini diadakan bagi meraikan pelajar yang cemerlang dan lulus bagi melayakkan mendapat sijil SPM.
Pada majlis ini, para pelajar dan ibubapa diberikan taklimat peluang menyambung pengajian daripada IPT Negeri Pahang antarannya Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas), UMPSA Malaysia, UCYP, OUM, PSDC dan Laluan peNgajian ke STAM dan Universiti Al-Azhar.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Y.Brs. Dr. Haji Asmadi bin Abdul Rahman selaku wakil rasmi kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang. Hadir sama Tuan Zaidi bin Ismail, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Pahang, Ustaz Nik Rozi bin Kasim, wakil Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Maulana Che Wan Hilmi bin Wan Mohamad Al-Hafiz, Presiden Ikatan Madrasah Pahang (IMP), dan Prof. Madya. Dr. Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Darul Makmur (IIDM), para pegawai jabatan dan agensi.
Program Intervensi ini adalah satu program tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui JPNP dengan kerjasama JAIP dan MUIP bagi memberikan peluang kepada pelajar tahfiz dan madrasah mengambil peperiksaan SPM secara fast track di sekolah masing-masing. Seramai 130 orang pelajar telah mendapat keputusan SPM pada tahun 2024 dan 96% daripadanya lulus cemerlang dan layak mendapat sijil.






















