Kuantan, 24 November 2025 – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini telah menganjurkan Majlis Apresiasi Pendakwah 2025 bertempat di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen, pengorbanan dan khidmat bakti para pendakwah yang berkhidmat di seluruh negeri Pahang. Majlis julung kali ini menghimpunkan seramai 300 orang pendakwah, mewakili pelbagai latar belakang masyarakat, termasuk muallaf, tokoh masyarakat Orang Asli serta sukarelawan dakwah.
Majlis dimulakan dengan Bicara Dakwah Masa Kini yang disampaikan oleh Maulana Johari bin Ali dari Maahad Tahfiz Sungai Salan. Sesi tersebut memberi fokus kepada keperluan memahami transformasi masyarakat moden, cabaran dakwah kontemporari serta penekanan terhadap hikmah dan pendekatan berasaskan bukti dalam menyantuni komuniti sasaran. Para pendakwah turut diberikan suntikan motivasi agar terus memperkukuh keilmuan dan kemahiran lapangan.
Dalam majlis yang sama, MUIP turut menyampaikan saguhati penghargaan kepada agensi dan badan dakwah yang selama ini menjadi rakan strategik MUIP, antaranya Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Pahang, Malaysia Chinese Muslim Association (MACMA), Pusat Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) dan Persatuan PePIMA Pahang.
Pengiktirafan tersebut diberikan sebagai menghargai usaha bersepadu agensi-agensi berkenaan dalam memelihara kebajikan muallaf, menggerakkan dakwah antara budaya dan memupuk keharmonian masyarakat majmuk di Pahang.
Majlis ini juga turut menyaksikan pelancaran rasmi modul-modul latihan MUIP yang dibangunkan bersama Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Modul yang dibangunkan merangkumi aspek dakwah lapangan, pembangunan spiritual, perkara asas fardu ain serta kompetensi kepimpinan pendakwah. Usaha ini merupakan inisiatif strategik MUIP dalam memperkukuh kapasiti pendakwah dan memastikan penyampaian dakwah berlandaskan ilmu serta pendekatan profesional.
Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH Dato’ Haji Ahmad Hairi bin Hussin, dalam ucapan perasmiannya merakamkan penghargaan kepada seluruh pendakwah negeri Pahang yang komited menggerakkan syiar Islam melalui pelbagai pendekatan hikmah dan kebijaksanaan. Menurut beliau:
“Kejayaan kerja dakwah di Pahang merupakan hasil kerjasama pelbagai institusi, pihak berkuasa agama, badan bukan kerajaan dan pendakwah pelbagai latar belakang yang sepakat menggerakkan misi dakwah dengan visi yang sama.
Pendakwah adalah aset terpenting MUIP dan barisan hadapan yang membawa mesej Islam kepada masyarakat dengan penuh hikmah.”
Beliau turut memaklumkan bahawa MUIP kini mempunyai 96 orang pendakwah berdaftar, terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk Melayu, Orang Asli, Cina dan India. Pendakwah Orang Asli khususnya diangkat sebagai tulang belakang dakwah di kawasan pedalaman kerana kemampuan mereka memahami bahasa, adat, budaya dan dinamika sosial komuniti masing-masing.
Dato’ Haji Ahmad Hairi menjelaskan bahawa Pahang mempunyai 264 buah perkampungan Orang Asli, yang memerlukan bimbingan agama, sokongan kebajikan, Pendidikan dan pemantapan akidah secara berterusan. Beliau menegaskan bahawa MUIP komited menambah baik strategi dakwah berfokus komuniti khususnya melalui pendekatan penyelidikan, pemerhatian lapangan dan latihan berterusan kepada pendakwah negeri.
Majlis turut merakamkan penghargaan kepada para pendakwah melalui penyampaian Anugerah Apresiasi Pendakwah 2025 melibatkan dua kategori utama: Kategori Komuniti dan Kategori Individu. Bagi Kategori Komuniti, penerimanya ialah Jalil bin Badrillah (Anugerah Komuniti Perkampungan Orang Asli Terbaik), Ali bin Panjang (Anugerah Komuniti Surau Kampung Orang Asli Terbaik) dan Bah Hong bin Kerang (Anugerah Kombinasi Dakwah Terbaik).
Sementara itu, bagi Kategori Individu, penganugerahan diberikan kepada Mohd Fauzi Fong bin Abdullah dan Liza binti Sulaiman (Ikon Kepimpinan Muallaf), Faizul Raman bin Samah dan Nadhirah binti Shamsulkamar (Penggerak Masyarakat Asli), Kamisan bin Wahab (Khas Batin Islam), Muhammad Sharafi bin Roslan dan Nurul Fadhilah Koh binti Abdullah (Ikon Kepimpinan Pendakwah), Ahmad Norshamsuri bin Junid dan Lily Nurzulrifa Ratnainza binti Mohd Ghazali (Khas Ar-Riqob), Dr. Izdihar bin Ishak dan Kalimaton Fatiha binti Sulong (Sukarelawan), manakala Suki bin Bah Muda dan Nur Rayhana Ayesha binti Subramaniam menerima anugerah Ikon Muallaf.
Salah seorang penerima anugerah, Mohd Fauzi Fong bin Abdullah, melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut. Beliau yang telah berkhidmat hampir 15 tahun dalam bidang dakwah khususnya di daerah Lipis menzahirkan penghargaan kepada MUIP dan menyatakan bahawa penganugerahan tersebut menjadi suntikan semangat untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.
Turut hadir ialah YH. Dato’ Abdul Zaki bin Mad Zain, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang; YH. Tok Muda Dato’ Zulkifli bin Ali Al-Hafiz, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Muallaf; serta Encik Marzuki bin Saleh, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Pahang.










