Pekan, 19 Januari 2026 – Kunjungan hormat daripada Lembaga Pengarah dan Pengurusan Tertinggi Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) ke Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) merupakan langkah memperkukuh hubungan serta kolaborasi strategik dalam pengurusan dan pembangunan asnaf.
Delegasi daripada TERAS seramai 14 orang yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Bakhtiar bin Hussin, Pengerusi TERAS telah disambut oleh YH. Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Hairi bin Haji Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, mencerminkan kesepaduan dan kebersamaan dalam usaha memperkasa kebajikan serta masa depan anak-anak asnaf.
MUIP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kehadiran dan kunjungan hormat pihak TERAS, yang menjadi pemangkin kepada usaha bersama dalam memakmurkan ummah melalui pengurusan asnaf yang tersusun dan berimpak.
Turut hadir YBrs. Dr. Haji Asmadi bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Baitulmal dan Operasi MUIP dan Profesor Madya Dr. Amran bin Muhammad, Pengarah Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM).








