PEKAN, 23 Jun 2026 – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memulakan Bengkel Pembangunan Kerangka Pelaksanaan SDG-ESG Berteraskan Maqasid Syariah Siri 1 yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Jun 2026.
Penganjuran bengkel ini merupakan langkah strategik MUIP dalam membangunkan kerangka pelaksanaan Sustainable Development Goals (SDG) dan Environmental, Social and Governance (ESG) yang selaras dengan prinsip Maqasid Syariah. Inisiatif ini bertujuan memastikan aspek kelestarian, tadbir urus dan pembangunan organisasi dilaksanakan secara holistik, berintegriti serta memenuhi tuntutan syarak.
Bengkel ini menghimpunkan barisan pengurusan tertinggi, ketua-ketua jabatan, wakil agensi dan anak syarikat di bawah Kumpulan MUIP bagi membincangkan analisis jurang antara amalan semasa dengan keperluan pembangunan kerangka SDG-ESG berteraskan Maqasid Syariah. Ia juga memberi fokus kepada langkah penambahbaikan bagi memperkukuh agenda kelestarian organisasi serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Majlis pembukaan bengkel dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Encik Khairuddin bin Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Dasar) MUIP. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pembangunan kerangka ini merupakan usaha penting bagi memastikan MUIP terus relevan sebagai institusi Islam yang mengamalkan tadbir urus terbaik, berdaya tahan dan memberi impak positif kepada pembangunan ummah di Negeri Pahang.
Turut hadir ialah YH. Tok Muda Dato’ Dr. Hj. Zulkifle bin Hj. Ali Al-Hafiz, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Muallaf Negeri Pahang (YAMU); YBhg. Dr. Haji Azmi bin Haji Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang (PKZWP); Tuan Rizal Haji Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MUIP Holdings Sdn. Bhd.; serta YBhg. Prof. Madya Dr. Amran bin Muhammad, Pegawai Eksekutif Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM).
Bengkel ini turut disertai oleh Pengarah-pengarah Bahagian, Ketua-ketua Unit, Pengurus-pengurus Cawangan Daerah MUIP serta wakil daripada agensi dan anak syarikat Kumpulan MUIP melibatkan MUIP Holdings Sdn. Bhd., PKZWP, YAMU dan IIDM.
Bagi memastikan pembangunan kerangka ini dilaksanakan secara menyeluruh dan berlandaskan amalan terbaik, MUIP turut mendapatkan khidmat perundingan daripada pakar-pakar Universiti Utara Malaysia (UUM). Pasukan perunding tersebut terdiri daripada YBhg. Profesor Madya Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad, YBhg. Prof. Dr. Natrah Saad, YBhg. Profesor Madya Dr. Hazeline Ayoub dan YBhg. Dr. Adura Ahmad.
Sepanjang tiga hari pelaksanaan bengkel, peserta akan terlibat dalam sesi taklimat, perbincangan strategik, analisis jurang, pembentangan kumpulan dan rumusan akhir. Sesi-sesi ini bertujuan mengenal pasti kekuatan, cabaran serta peluang penambahbaikan dalam membangunkan kerangka SDG-ESG yang komprehensif, praktikal dan selaras dengan prinsip Maqasid Syariah.
Hasil daripada bengkel ini dijangka menjadi asas kepada pembentukan Kerangka Pelaksanaan SDG-ESG Berteraskan Maqasid Syariah MUIP, sekali gus memperkukuh komitmen organisasi dalam melaksanakan tadbir urus yang mampan, berintegriti dan berteraskan nilai-nilai Islam demi kesejahteraan ummah serta kemakmuran Negeri Pahang.
Program ini dijadualkan berakhir pada 25 Jun 2026 dengan sesi pembentangan dapatan dan rumusan akhir sebagai panduan kepada pembangunan serta pelaksanaan kerangka SDG-ESG berteraskan Maqasid Syariah di MUIP pada masa hadapan.













