TEMERLOH, 7 April 2022 : KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merangkap Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang memulakan jelajah Baginda pada bulan Ramadan kali ini dengan perasmian Masjid Baharu Kg. Rantau Panjang Lanchang, Temerloh hari ini.
Dalam titah kebawah duli Tuanku hari ini, Baginda menzahirkan perasaan gembira dan bersyukur kerana ini merupaka berbuka puasa yang pertama buat Baginda sejak dimasyurkan sebagai Pemangku Raja Pahang dan Tengku Mahkota sejak tahun 2019. Baginda turut menyentuh tentang kelestarian masjid sebagai satu contoh yang terbaik buat semua bagi memastikan umat Islam di negeri ini dapat menunaikan ibadah dengan selesa dan gembira.
Dalam majlis itu juga, Baginda sempat menyantuni beberapa orang asnaf dan menyampaikan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. Baginda juga berkenan untuk meyerahkan sumbangan komputer riba daripada Tabung Haji kepada 10 orang pelajar yang terpilih di sekitar daerah ini.
Majlis berbuka puasa dan menyantuni para asnaf merupakan tradisi turun-temurun keluarga Diraja Pahang setiap kali bulan Ramadan berkunjung tiba. Namun sejak dua tahun pandemik COVID-19 ini melanda, ditambah dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan, majlis-majlis seperti ini terpaksa ditangguhkan. Bermula tahun ini, tradisi seperti ini kembali dihidupkan dan dianjurkan secara sederhana bagi meraikan para asnaf dan merapatkan hubungan silaturahim antara Keluarga Diraja Pahang dan rakyat jelata.