Oleh : Safura
Foto : Asyraf
PEKAN. 25 September 2020 Bersamaan 7 Safar 1442 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bercemar duli melawat empat buah rumah bersempena Program Ziarah Asnaf Majlis Ugama Islam Pahang. Mengiringi baginda, paduka kakanda Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Leftenan Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah. Baginda selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang memulakan ziarah selepas baginda selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Lamir.
Baginda ziarah di rumah yang pertama, rumah kediaman yang dihuni oleh keluarga Encik Muhammad Zubir bin Zulkifli di Kampung Bentan. Beliau mempunyai seorang anak yang bernama Nur Dalila Sofea, 2 tahun, menghidap penyakit bengkak kepala dan matanya disahkan oleh doktor tidak boleh melihat. Pihak Majlis Ugama Islam Pahang menyalurkan bantuan zakat bulanan berserta baucar Pasaraya Darulmakmur (PDM).
Baginda kemudiannya berangkat tiba di Kampung Siong bagi menziarahi Encik Mohd Hairie bin Abdul Rashid yang kini terlantar setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya. Baginda meluangkan masa hampir sejam bertanyakan khabar keadaan beliau yang kini terpaksa bergantung kepada susu melalui tiub khas. Bagi meringankan beban, beliau menerima bantuan zakat bulanan dan juga baucar PDM.
Seterusnya baginda berangkat ke Kampung Permatang Pauh bagi melawat dua buah rumah yang menerima bantuan baik pulih rumah menerusi peruntukan bantuan zakat dari Majlis Ugama Islam Pahang. Puan Robiah binti Mohamed, seorang ibu tunggal berumur 60 tahun menerima peruntukan berjumlah RM10,000 bagi membaiki dapur rumahnya. Manakala Encik Mustafa bin Kassim, 78 tahun, selain rumahnya dibaik pulih turut menerima bantuan zakat bulanan berjumlah RM400.
Keprihatinan baginda menziarahi rakyatnya dan mengurniakan sumbangan peribadi menggembirakan mereka. Turut hadir sempena ziarah ini, Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad dan Yang Hormat Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain.