TEMERLOH. 23 November 2020 Bersamaan 7 Rabiulakhir 1442 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ziarah ke rumah mangsa terbakar di Kampung Bolok Ulu, Lanchang, petang tadi. Keberangkatan baginda memperlihatkan keprihatinannya terhadap rakyat yang ditimpa bencana. Baginda menyantuni mangsa serta berkenaan mengurniakan sumbangan peribadi bagi meringankan beban mangsa.
Selaku Tuanku Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, baginda turut mengurniakan bantuan zakat bencana berjumlah RM2,000 kepada Encik Budin bin Siraj. Mengiringi baginda, Yang Hormat Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain, Yang Berusaha Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi), Dr. Asmadi bin Abdul Rahman serta Yang Berbahagia Pengurus Cawangan MUIP Temerloh, Ustaz Mohd Faitullah bin Sa’adon. Anggaran kerugian yang ditanggung mangsa berjumlah RM30 ribu berikutan kejadian kebakaran yang berlaku pada hari semalam, kira-kira jam 3.50 petang .