KUANTAN, 8 April 2022 : KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merangkap Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang meneruskan jelajah Baginda pada bulan Ramadan 1443H. Kali ini, Baginda berkenan untuk berbuka puasa di Rumah Anak-Anak Yatim dan Miskin Permata Camar, Pantai Sepat, Kuantan.
Dalam majlis tersebut, Baginda berkenan untuk menyantuni para penghuni di situ sambil bertanya khabar dan beramah mesra bersama-sama mereka. Kebanyakan penghuni di sini adalah merupakan anak yatim atau mereka yang kurang berkemampuan dari sekitar daerah Kuantan ini. Sebagai Penaung Diraja di pusat itu, Kebawah Duli Tuanku sentiasa mengambil berat kebajikan anak-anak di sini dan memastikan kebajikan mereka terjaga dengan baik.
Baginda turut berkenan untuk mengurniakan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang kepada mereka. Turut hadir bersama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Paduka adinda YAM Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, YH Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza binti Ku Lah, Pegawai Daerah Kuantan dan Dato’ Hj Halidan bin Md Daud, Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang.