PEKAN. 21 Oktober 2020 Bersamaan 4 Rabiulawal 1442 Hijrah- “Perjuangan pelajar sekalian dalam menuntut ilmu, amatlah besar pengorbanannya disisi Allah Subhanahu Wata’ala”, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena lawatan baginda ke Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar pagi tadi.
“Saya menyeru kepada semua pelajar, yang akan mewarisi kepimpinan masa depan negara ini, melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian. Baginda mengakhiri titah dengan peringatan bahawa wabak pandemik COVID-19 belum berakhir, malah kes positif semakin bertambah.
“Semua pihak berwaspada dan mengamalkan norma baharu. Teruslah menjaga kesihatan diri dan keluarga, serta mematuhi SOP yang digariskan pihak kerajaan, ” titah baginda. Baginda berkenan melawat ke kelas-kelas sambil bertanya khabar para pelajar. Keprihatinan serta sikap mengambil berat baginda memberi suntikan semangat dan motivasi kepada pelajar.
Bersempen lawatan ini, baginda yang juga selaku Tuanku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang berkenan mengurniakan replika mock-cheque Bantuan Pendidikan Pelajar Sekolah Menengah Agama Pahang berjumlah RM1,016,000. Bantuan ini disalurkan kepada 10,160 orang pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri dan Sekolah Menengah Ugama Majlis. Bantuan zakat ini mula diagihkan pada tahun 2013 dengan harapan menampung keperluan pelajar membeli buku rujukan dan peralatan sekolah.
#zakat #pahangdarulmakmur
Wartawan : Safura
Foto : Hamzi