PEKAN, 29 JUN 2021: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Tuanku Yang Dipertua MUIP berkenan untuk menziarahi asnaf-asnaf di sekitar Chini. Asnaf-asnaf yang terdiri daripada ibu tunggal, balu dan warga emas telah disantuni oleh Baginda atas rasa keprihatinan dan cakna kepada rakyat Pahang.
Keberangkatan Baginda dimulakan dengan menyantuni Tok Batin di KOA Gumum yang telah uzur serta melawat hasil air tangan tongkat ali yang diusahakan oleh penduduk-penduduk kampung.
“Alhamdulillah, MUIP dah banyak bantu keluarga kami dari segi bantuan bina rumah baru sehingga pemberian laptop bagi kegunaan anak belajar di universiti”. Itulah kata-kata yang diucapkan oleh salah seorang asnaf yang juga penerima bantuan bulanan MUIP kepada Baginda. Sebelum berangkat pulang, Baginda telah menghulurkan sumbangan tunai beserta barangan asas kepada para asnaf dan turut mendoakan mereka agar sentiasa menjaga kesihatan di musim pandemik ini.