CHENOR. 19 November 2020 Bersamaan 3 Rabiulakhir 1442 Hijrah – Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bercemar duli menyantuni rakyatnya yang ditimpa bencana di Kampung Baru Chenor.
Mangsa bencana, Encik Wan Johari bin Wan Yusof terharu atas keprihatinan KDYMM Pemangku Raja Pahang melawatnya. Baginda berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan selaku Tuanku Yang Dipertua, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang turut dikurniakan bantuan zakat bencana berjumlah RM2,000.
Mengiringi baginda, Yang Berusaha Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi), Dr. Asmadi bin Abdul Rahman dan Yang Berbahagia Pengurus Cawangan MUIP Chenor, Ustaz Mohd Azmi bin Mat Zain.
Turut hadir, Yang DiHormat Orang Kaya Indera Pahlawan, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid bin Haji Wan Hassan, Pegawai Daerah, Ketua Polis Maran dan Penghulu. Kebakaran 3.30 petang semalam menyebabkan kemusnahan 100 peratus rumah kayu yang didiami seramai 6 orang itu. Bagaimana pun, tiada kehilangan nyawa.