Notis Perlindungan Data Peribadi
MAJLIS UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (selepas ini dirujuk sebagai “MUIP”, “Majlis”, “kami” atau “pihak kami”) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah peruntukan undang-undang Negeri Pahang dan bertanggungjawab dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam termasuk kutipan dan agihan zakat, wakaf, baitulmal serta fungsi-fungsi lain yang diperuntukkan oleh undang-undang yang berkuat kuasa.
MUIP adalah komited untuk memastikan bahawa segala Data Peribadi yang dikemukakan kepada kami diproses selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709], peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya serta apa-apa garis panduan atau kod amalan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan dari semasa ke semasa.
Notis Perlindungan Data Peribadi ini (“Notis ini”) bertujuan untuk memaklumkan kepada anda tentang cara MUIP mengumpul, merekod, memegang, menyimpan, menyusun, mengadaptasi, mengubah, mendapatkan semula, menggunakan, mendedahkan, memindahkan dan memusnahkan Data Peribadi anda berhubung dengan urusan pentadbiran, perkhidmatan, transaksi dan apa-apa bentuk hubungan antara anda dan MUIP (kemudian dirujuk sebagai “memproses”).
Rujukan kepada “anda” dalam Notis ini termasuklah mana-mana individu yang Data Peribadinya dikemukakan kepada MUIP sama ada sebagai penerima bantuan, pemohon, pemabayar zakat, kontraktor, pembekal, sukarelawan atau mana-mana pihak yang mempunyai urusan dengan MUIP.
1. APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN DATA PERIBADI?
1.1 “Data Peribadi” bermaksud apa-apa maklumat berkenaan dengan transaksi komersial atau urusan rasmi yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung dengan seseorang individu yang dikenal pasti atau boleh dikenal pasti daripada maklumat tersebut atau daripada maklumat tersebut yang digabungkan dengan maklumat lain yang berada dalam milikan atau kawalan MUIP termasuk apa-apa data peribadi sensitif dan pendapat yang dinyatakan tentang individu tersebut.
1.2 “Data Peribadi Sensitif” termasuklah, tetapi tidak terhad kepada, maklumat yang berhubungan dengan kesihatan atau keadaan fizikal atau mental seseorang individu, pendapat politiknya, kepercayaan agamanya dan kepercayaan lain yang bersifat seumpamanya, pelakuan atau pengataan pelakuan apa-apa kesalahan olehnya, data biometrik atau apa-apa data peribadi lain yang ditentukan oleh Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi perlindungan data peribadi melalui perintah yang disiarkan dalam warta.
2. PEMBERITAHUAN DAN PERSETUJUAN
2.1 Apabila anda meminta maklumat atau menggunakan perkhidmatan MUIP, anda mungkin dikehendaki memberikan data peribadi anda kepada MUIP. Dengan berbuat demikian, anda bersetuju dengan penggunaan data peribadi anda oleh MUIP menurut Notis ini.
2.2 Data peribadi anda juga mungkin telah dikemukakan kepada MUIP oleh pihak ketiga (contohnya, oleh pasangan anda, syarikat di mana anda merupakan pengarahnya, pegawai atau pemegang saham, atau perkongsian di mana anda merupakan rakan kongsi) untuk perkhidmatan yang diperlukan oleh pihak ketiga berkenaan daripada MUIP. Dalam konteks ini, terma “anda” dalam Notis ini juga akan digunakan bagi mana-mana individu yang mana data peribadinya telah dikemukakan kepada MUIP dan/atau telah diperolehi menerusi kaedah seperti yang dinyatakan dalam notis ini.
2.3 Anda mempunyai pilihan, pada bila-bila masa, untuk tidak memberikan data peribadi anda atau menarik balik persetujuan anda untuk membenarkan MUIP memproses data peribadi anda. Walau bagaimanapun, kegagalan memberikan data peribadi tersebut atau tindakan anda menarik balik persetujuan anda untuk memproses data peribadi yang diberikan mungkin mengakibatkan MUIP tidak dapat menyediakan perkhidmatan kepada anda secara berkesan dan berterusan
3. JENIS DATA PERIBADI YANG DIKUMPUL
3.1 Jenis data peribadi yang kami kumpul termasuk, tetapi tidak terhad kepada, nama, alamat perhubungan, umur, pekerjaan, status perkahwinan, maklumat kewangan, kad pengenalan, nombor telefon, pasport, tempat lahir dan sejarah urusan transaksi anda.
3.2 Kami mungkin mengumpul data peribadi sensitif anda jika anda berurusan dengan MUIP yang menghendaki anda supaya mendedahkan data peribadi sensitif tersebut kepada pihak kami.
3.3 Kami hanya akan menggunakan data peribadi sensitif anda untuk menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh anda sahaja. Jika kami memproses data peribadi sensitif anda, kami akan mendapatkan persetujuan anda terlebih dahulu.
3.4 Data peribadi yang kami kumpul boleh dikategorikan sebagai sama ada wajib diberikan atau diberikan secara sukarela. Data peribadi yang wajib diberikan ialah data peribadi yang kami perlukan supaya kami dapat menyediakan perkhidmatan kami kepada anda. Jika anda tidak memberikan data peribadi tersebut, kami tidak akan dapat menyediakan perkhidmatan kami kepada anda. Keperluan data peribadi yang diberikan secara sukarela ialah data peribadi yang tidak wajib diberikan bagi membolehkan kami menyediakan perkhidmatan kami kepada anda. Jika anda tidak memberikan data peribadi tersebut, anda masih boleh menggunakan perkhidmatan kami.
3.5 Data peribadi yang wajib diberikan atau diberikan secara sukarela adalah berbeza-beza mengikut setiap perkhidmatan yang kami tawarkan.
4. BAGAIMANA KAMI MENGUMPUL DATA PERIBADI ANDA
4.1 Kami memperoleh data peribadi anda dengan pelbagai cara, seperti :
- Apabila anda menggunakan salah satu daripada perkhidmatan yang kami sediakan.
- Apabila anda menghubungi MUIP menerusi pelbagai kaedah seperti borang permohonan, e-mel dan surat, panggilan telefon serta perbualan anda dengan pusat panggilan kami.
- Jika anda menghubungi kami atau kami menghubungi anda melalui telefon, kami mungkin memantau atau merekodkan panggilan telefon tersebut untuk tujuan jaminan kualiti, latihan dan keselamatan.
- Daripada analisa yang kami lakukan terhadap transaksi anda.
- Kami juga mungkin memperoleh data peribadi anda apabila anda menyertai kaji selidik pelanggan atau apabila anda mendaftar diri untuk mana-mana peraduan atau promosi kami.
- Apabila kami memperolehi apa-apa data dan maklumat daripada pihak yang diberi kuasa (contohnya, agensi kawal selia, dan penguatkuasaan yang dibenarkan).
- Apabila kami memperolehi apa-apa data dan maklumat dari pihak ketiga.
- Apabila anda memeterai sebarang transaksi komersial dengan MUIP, termasuk tetapi tidak terhad, bagi menyediakan barangan dan/atau perkhidmatan atau perkhidmatan profesional anda.
- Laman sesawang dan media sosial MUIP yang lain.
- Daripada sumber-sumber umum.
5. TUJUAN PEMPROSESAN
5.1 Kami mungkin memproses data peribadi anda untuk sebab berikut :
- Menilai permohonan anda untuk mana-mana perkhidmatan kami.
- Mengurus dan menyelenggara akaun dan kemudahan anda.
- Menilai keperluan kewangan anda dan meneruskan pelaksanaan obligasi kontrak yang diikat antara MUIP dengan diri anda.
- Menjawab pertanyaan dan aduan anda serta menyelesaikan pertikaian.
- Fungsi dalaman seperti menilai keberkesanan pemasaran, penyelidikan pasaran, analisa dan pemodelan statistik, pelaporan, pengurusan audit dan risiko serta mencegah penipuan.
- Menyerahkan data kepada organisasi/ syarikat yang diberi kebenaran oleh MUIP untuk menyediakan perkhidmatan atau menyerahkan bantuan berbentuk wang, barang-barang keperluan, kursus, latihan dan lain-lain yang berkaitan bagi tujuan manfaat kepada anda.
5.2 Selain itu, kami juga mungkin menggunakan data peribadi anda untuk memenuhi apa-apa keperluan kawal selia dan untuk apa-apa sebab lain yang berkaitan dengan penyediaan perkhidmatan yang anda perlukan.
6. PENDEDAHAN DAN PEMINDAHAN DATA PERIBADI
Kami memproses data peribadi anda hanya di Malaysia sahaja. Tiada data peribadi yang dipindahkan ke luar Malaysia. Jika anda berada di luar Malaysia dan memilih untuk memberi maklumat kepada kami, sila ambil perhatian bahawa kami memindahkan data, termasuk Data Peribadi, ke Malaysia dan memprosesnya di sini.
6.1 Perkongsian Data
Tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai, Data Peribadi anda mungkin didedahkan dan dipindahkan untuk tujuan yang tertera di bawah (dimana terpakai) dan tidak terhad kepada entiti atau pihak berikut:
- Entiti dibawah selian Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang seperti Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang.
- Amil Zakat, Amil Fitrah, Briged Asnaf dan mereka yang dilantik oleh kami untuk pelaksanaan beberapa fungsi, perkhidmatan dan aktiviti kami.
- Organisasi/Syarikat berkerjasama bersama MUIP untuk penyaluran sebarang bentuk bantuan dan perkhidmatan
- Rakan kongsi strategik dan penasihat atau konsultan kami.
- Badan-badan perundangan seperti KWSP, PERKESO, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mana-mana berkenaan pengawal atur kerajaan (government regulators), lembaga berkanun, pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan undang-undang yang berkenaan untuk mematuhi setiap arahan, undang-undang, peraturan, panduan dan skema yang dikeluarkan atau ditadbir oleh salah satu dari mereka.
- Mana-mana pihak yang diberi kebenaran untuk tujuan semakan silang/ cross-checking
- Organisasi/Syarikat/Agensi yang diberi kebenaran oleh MUIP untuk menyerahkan bantuan berbentuk wang, barang keperluan, kursus, latihan dan lain-lain yang berkaitan bagi tujuan manfaat kepada anda.
- Agensi mengurus Zakat negeri lain
- Mana-mana pihak lain yang diberi kebenaran oleh anda.
Anda mungkin menerima makluman pemasaran daripada pihak kami atau entiti lain tentang perkhidmatan yang mungkin menarik minat anda. Jika anda berhasrat untuk tidak mahu menerima makluman pemasaran ini, sila maklumkan kepada pihak kami untuk menarik balik persetujuan anda dan kami akan berhenti memproses dan berkongsi data peribadi anda dengan entiti lain untuk tujuan penghantaran makluman pemasaran kepada anda.
Anda mempunyai pilihan untuk menarik balik persetujuan anda untuk menerima bahan/makluman pemasaran atau promosi. Anda boleh menghubungi kami melalui talian atau laman sesawang.
7. KESELAMATAN DAN PENYIMPANAN DATA
7.1 Keselamatan data peribadi anda merupakan keutamaan kami MUIP mengambil semua langkah fizikal, teknikal dan organisasi yang diperlukan untuk memastikan keselamatan dan kerahsiaan data peribadi. Jika kami mendedahkan apa-apa data peribadi anda kepada pihak-pihak yang dinyatakan di atas, mereka mempunyai obligasi untuk melindungi data peribadi yang diberikan dengan sewajarnya.
7.2 Kami hanya akan menyimpan data peribadi anda selama mana yang perlu untuk memenuhi tujuan ia dikumpulkan atau untuk mematuhi keperluan undang-undang yang berkuatkuasa dan peraturan serta keperluan dalaman dari semasa ke semasa.
8. HAK AKSES, PERMOHONAN PEMBETULAN DAN PERTANYAAN
8.1 Tertakluk kepada sebarang pengecualian di bawah undang-undang yang berkenaan,anda boleh pada bila-bila masa selepas ini memohon akses kepada, atau untuk pembaikan dan pembetulan Data Peribadi menghadkan pemprosesan Data Peribadi anda, atau memohon makluman lanjut daripada MUIP dengan menghubungi dan menghantar permintaan anda secara bertulis kepada alamat berikut:
Pegawai Perlindungan Data,
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang,
Kompleks Sultan Haji Ahmad Shah,
26600 Pekan,
Pahang Darul Makmur.
Email: info@muip.gov.my.
8.2 MUIP mempunyai hak untuk menolak permohonan anda untuk mengakses dan/atau membuat sebarang pembetulan atas alasan-alasan yang dibenarkan di bawah undang-undang atau dalam situasi di mana MUIP tidak dapat memastikan identiti anda atau di mana maklumat yang diminta bersifat komersial dan sulit serta permintaan yang tidak munasabah. Namun demikian, MUIP akan memaklumkan kepada anda akan sebab-sebab kenapa kami tidak dapat memenuhi permintaan anda.
9. PERUBAHAN DAN VERSI BERKUAT KUASA
Sila ambil perhatian bahawa kami mungkin mengemas kini Polisi ini dari semasa ke semasa. Jika terdapat perubahan ketara pada Polisi ini, kami akan memberitahu anda dengan memaparkan notis tentang perubahan tersebut melalui laman sesawang dalam jangka masa yang difikirkan sesuai oleh kami. Kami menggalakkan anda untuk kerap melawati laman sesawang MUIP dari semasa ke semasa untuk sentiasa maklum tentang cara kami melindungi maklumat anda
Notis Privasi MUIP ini kali terakhir dikemaskini pada 23 Februari 2026