KUANTAN. 26 Oktober 2020 Bersamaan 9 Rabiulawal 1442 Hijrah – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bertitah sempena Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Kali Ke-181. Selesai bertitah, baginda berangkat meninggalkan majlis.
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum pada itu, berkenan bercemar duli berangkat bagi mempengerusikan Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Darul Makmur Kali Ke-113 yang diadakan di Hotel Grand Hyatt pagi tadi.
Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang dipengerusikan oleh paduka anakanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku Tuanku Yang Dipertua MUIP.
KDYMM Tuanku Yang Dipertua MUIP berharap semua pihak terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19. Ekoran pandemik ini, negara berdepan ekonomi yang tidak menentu. Namun begitu, prestasi kutipan zakat berada pada prestasi baik dengan merekodkan peningkatan dari segi jumlah kutipan dan bilangan pembayar zakat harta.
“Sehingga September 2020, sejumlah RM102 juta zakat diagihkan kepada 127 ribu asnaf. Hasil pembayaran zakat memberi manfaat kepada pembangunan syiar Islam di negeri ini,” titah baginda.
Bersempena bulan kelahiran Rasullah SAW ini, baginda mengajak supaya kita merenung kembali Sirah Rasulullah SAW.
“Rasulullah SAW adalah idola kita semua. Kelahiran Baginda membawa cahaya dan penuh rahmat kepada sekalian alam.
“Sebagai nabi dan utusan Allah SWT, setiap perkataan yang dikeluarkan, perbuatan yang dilakukan dan dilaksanakan merupakan contoh dan teladan yang perlu diikuti.
“Allah SWT mempertanggungjawabkan kepada manusia bagi mentadbir alam ini. Pentadbiran alam ini akan lebih cemerlang jika dilaksanakan mengikut al-Quran dan sunah Rasulullah SAW,” titah KDYMM Tuanku Yang Dipertua MUIP.
Turut sama hadir, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, paduka kakanda selaku Timbalan Yang Dipertua MUIP, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Leftenan Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin bin Ishak, Yang Hormat Setiausaha MUIP, Dato’ Ahmad Hairi bin Haji Hussain dan ahli-ahli Mesyuarat Majlis, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.
Wartawan : Safura
Foto : Asyraf