KUANTAN , 18 NOVEMBER 2025 — Sambutan Hari Integriti Peringkat MUIP bagi Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Hotel Grand Darul Makmur. Majlis ini adalah hasil kerjasama erat antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pahang. Hari Integriti ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai nilai-nilai integriti dalam kalangan warga kerja MUIP dan anak syarikat kumpulan, di samping memberi pendedahan tentang kesan dan akibat daripada salah laku rasuah serta pelanggaran tatakelakuan.

Program sambutan yang bertemakan “Integriti Teras Kesejahteraan Negara” telah disempurnakan oleh YH Dato’ Haji Ahmad Hairi bin Haji Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif MUIP. Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan kepentingan aspek integriti di tahap yang paling tinggi perlu ada dalam kalangan warga kerja MUIP kerana amanah dan kepercayaan yang diberikan dalam menguruskan hal ehwal agama, terutama membantu orang-orang susah di Negeri Pahang.

Sempena sambutan tersebut, turut diadakan Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MUIP dan disaksikan oleh Pengarah SPRM Pahang, KPKPJ Tuan Mohd Shukor bin Mahmud, bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Dasar), Encik Khairuddin bin Ismail, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi), YBrs. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, serta Ketua Unit Integriti MUIP, Puan Nurul Athirah binti Abdullah.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah Bicara Ummah bertajuk “Bekerja dengan Hati, Berkhidmat dengan Integriti” yang disampaikan oleh Tuan Nik Ibrahim bin Nik Abdullah, al-Fadhil Qadhi Daerah Jengka; Bicara Integriti bertajuk “Antara Maruah dan Rasuah” yang disampaikan oleh KPKPS Tuan Mohamad bin Hussain serta slot Kuiz Integriti yang mencabar minda dan pengetahuan peserta seramai 160 kakitangan berkaitan nilai integriti dalam perkhidmatan awam.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah SPRM Pahang, PPJ Puan Shazleen binti Md Noh, pegawai-pegawai SPRM, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kutipan Zakat & Wakaf Pahang, ketua-ketua pegawai eksekutif dan wakil daripada kumpulan anak syarikat, pengarah-pengarah bahagian MUIP, ketua-ketua unit, pengurus-pengurus cawangan MUIP serta warga kerja MUIP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Carta Organisasi Majlis
Skip to content