Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah mengumumkan kadar zakat fitrah Negeri Pahang bagi tahun 1446H/2025M setelah diperkenan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang. Kadar yang ditetapkan adalah RM7.00, RM14.00, dan RM21.00, mengikut jenis beras yang digunakan oleh pembayar.
Umat Islam di Negeri Pahang boleh mula menunaikan bayaran zakat fitrah dari awal Ramadan sehingga sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Untuk kemudahan, pembayaran boleh dibuat melalui 917 amil bertauliah di seluruh negeri atau secara dalam talian melalui ezakat.muip.gov.my serta QR code Bank Muamalat.
Bantuan Ramadan & Hari Raya Aidilfitri
Sebagai tanda keprihatinan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan, MUIP telah memperuntukkan RM21.69 juta untuk diagihkan sepanjang Ramadan ini, melibatkan 35,400 penerima. Antara bentuk bantuan yang disediakan adalah:
Bantuan menyambut Ramadan – RM5.69 juta kepada 12,688 ketua isi rumah fakir dan miskin penerima zakat bulanan.
Sumbangan Ihya’ Ramadan – RM4.27 juta kepada 689 masjid dan surau kebenaran Jumaat di seluruh negeri, serta RM354,000 untuk 14 masjid dan surau institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negeri Pahang
Sumbangan kepada maahad tahfiz & pondok – RM297,700 diagihkan kepada 157 institusi untuk menyemarakkan aktiviti Ramadan.
Bantuan kepada guru-guru al-Quran – RM159,000 untuk 318 penerima dalam kalangan ahli Persatuan Guru-Guru al-Quran Asrama Negeri Pahang.
Bantuan Hari Raya Aidilfitri – RM9.86 juta kepada 19,701 ketua isi rumah fakir miskin, merangkumi penerima zakat bulanan dan yang tersenarai oleh amil.
Bantuan kepada saudara baru – RM1.04 juta kepada 1,833 ketua isi rumah dan ahli keluarga saudara baru di Negeri Pahang.
Diharapkan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban dan memberi kegembiraan kepada golongan asnaf dalam menyambut Ramadan dan Syawal.
Turut hadir dalam sidang media ini ialah YH. Dato’ Zaliza bin Zulkipli, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Tuan Haji Mohd Azmi bin Haji Othman, Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang.
#ZakatFitrahPahang2025#PrihatinBersama#BerkatZakat#RamadanBerkat#KongsiRezeki










